SAM



PERSATUAN PENULIS-PENULIS SUKAN MALAYSIA 1984
(Sportswriters Association of Malaysia 1984)

PERLEMBAGAAN

PERATURAN 1 – NAMA
Persatuan ini dikenali dengan nama PERSATUAN PENULIS-PENULIS SUKAN MALAYSIA 1984
(SPORTSWRITERS ASSOCIATION OF MALAYSIA 1984) atau dengan ringkas SAM; selepas ini disebut persatuan.


PERATURAN 2 – TEMPAT URUSAN
Tempat urusan berdaftar persatuan ini ialah

Tingkat 2, Wisma OCM
Jalan Hang Jebat
50150 Kuala Lumpur
Wilayah Persekutuan

Atau di tempat lain yang diputuskan oleh Majlis dari semasa ke semasa. Tempat urusan berdaftar ini tidak boleh dipinda atau ditukar ke tempat lain melainkan setelah kebenaran bertulis diperoleh daripada Pendaftar Pertubuhan Malaysia.


PERATURAN 3 – BENDERA DAN LAMBANG

 
PERSATUAN PENULIS-PENULIS SUKAN MALAYSIA 1984
(SPORTSWRITERS ASSOCIATION OF MALAYSIA 1984)

Tertera nama ringkas persatuan dalam bahasa Inggeris (SAM) disamping lambang seorang atlet melempar cakera. Lambang atlet seakan-akan seorang pelempar cakera Greek kuno secara jelas mementingkan kesucian dan kecemerlangan mutu sukan yang digambarkan oleh warna biru dan putih.




PERATURAN 4 – TUJUAN

a)Untuk menyatukan semua penulis sukan, pengulas sukan, penerbit sukan radio & TV, jurufoto sukan serta individu yang memiliki tugas berkaitan dengan penerbitan berita-berita sukan di Malaysia dan memastikan ahli mendapat kemudahan yang terbaik sewaktu menjalankan tugas di seluruh negara.

b) Untuk mempertahankan segala kepentingan moral professional setiap ahli.

c) Untuk bekerjasama serta memperbaiki lagi hubungan di antara ahli dengan pertubuhan-pertubuhan sukan di peringkat negeri, kebangsaan dan pihak kerajaan.

d) Untuk menganjurkan kursus-kursus berupa latihan dan seminar bagi faedah ahli pada bila-bila masa yang bersesuaian.


PERATURAN 5 – DASAR DAN PENGGABUNGAN

a)Persatuan ini adalah sebuah pertubuhan sukarela yang ditadbirkan mengikut prinsip-prinsip demokrasi.

b) Persatuan ini tidak boleh mengambil bahagian atau bergabung dengan mana-mana parti siasah atau kesatuan sekerja.

c) Persatuan ini boleh bergabung dengan mana-mana pertubuhan penulis sukan antarabangsa dengan kelulusan Mesyuarat Agung Dwitahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa.

d) Setiap ahli persatuan yang ingin bertanding untuk sebarang jawatan dalam pertubuhan penulis sukan antarabangsa perlu mendapat perakuan dan kebenaran Majlis.

e) Persatuan ini boleh menambah lagi tabung kewangan dengan memungut derma dan punca-punca lain yang sah disegi undang-undang bagi kegunaan berkaitan dengan kegiatan persatuan dengan syarat mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

f) Persatuan ini juga boleh memohon, memiliki dan membeli tanah, bangunan, rumah, harta-harta lain serta berniaga, melabur dan menerima apa jua faedah pelaburannya. Faedah-faedah ini adalah semata-mata untuk kegunaan persatuan sahaja. Semua wang dan keuntungan yang diperoleh hasil penyertaan dalam mana-mana perniagaan akan digunakan semata-mata untuk memaju dan menggiatkan perjalanan persatuan. Tidak sebahagian pun daripada wang atau keuntungan yang dimaksudkan boleh digunakan untuk membayar faedah, keuntungan atau bonus kepada seseorang ahli persatuan. Bagaimanapun peruntukan ini tidak menghalang sebarang pembayaran yang dibuat dengan tujuan baik seperti membayar gaji atau perbelanjaan atau elaun atau ketiga-tiganya kepada seorang ahli atau kakitangan persatuan.

g) Dalam urusan pembelian atau penjualan tanah, bangunan dan rumah, kelulusan ahli perlu diperoleh terlebih dahulu pada Mesyuarat Agung Dwitahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa.


PERATURAN 6 – KEAHLIAN

a)Keahlian persatuan terbuka kepada warganegara Malaysia yang meliputi semua penulis sukan, pengulas sukan, penerbit sukan radio & TV, jurufoto sukan serta individu yang memiliki tugas berkaitan dengan penerbitan berita-berita sukan di sebuah akhbar, majalah, agensi berita, radio dan televisyen. Mereka yang bertugas sepenuh masa atau secara sambilan di Malaysia sahaja layak menjadi anggota persatuan.

i)              AHLI BIASA: Orang perseorangan yang berusia 18 tahun ke atas dan mematuhi Peraturan 6 (a).

ii)            AHLI SEUMUR HIDUP: Orang perseorangan yang mana keahliannya dilantik oleh persatuan menerusi Mesyuarat Agung berdasarkan kepada sumbangan, jasa dan pengorbanan kepada persatuan. Ahli Seumur Hidup tidak perlu membayar yuran.

iii)          AHLI BERSEKUTU: Orang perseorangan berusia 18 tahun ke atas yang pernah bertugas seperti di Peraturan 6 (a). Ahli Bersekutu tidak boleh memegang sebarang jawatan persatuan dan tidak boleh mengundi pada Mesyuarat Agung Dwitahunan dan Mesyuarat Agung Luar Biasa tetapi boleh menerima segala kemudahan yang disediakan oleh persatuan.

b) Semua permohonan di segi keahlian mesti dikemukakan kepada Setiausaha Agung bersama-sama dengan Borang Ahli Biasa atau Borang Ahli Bersekutu. Setiausaha Agung atau Presiden berhak meluluskan permohonan-permohonan tetapi perlu dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis untuk perakuan terakhir. Bagaimanapun penolakan untuk menjadi Ahli Biasa atau Bersekutu cuma boleh diputuskan dalam Mesyuarat Majlis.

c) Apabila permohonan diluluskan setelah membayar yuran tahunan pertama berdasarkan proses permohonan menjadi ahli, ahli berkenaan secara sah menjadi ahli persatuan dengan memiliki hak sepenuhnya sebagai ahli.


PERATURAN 7 – BAYARAN MASUK, YURAN DAN LAIN-LAIN BAYARAN

a)Yuran tahunan bagi Ahli Biasa ialah RM20 setahun. Ahli Bersekutu perlu membayar yuran tahunan RM10.

b) Yuran tahunan hendaklah dibayar kepada Setiausaha Kewangan mulai 1 Januari hingga 30 Jun pada tahun berkenaan.

c) Keahlian bagi Ahli Biasa dan Ahli Bersekutu dianggap lucut secara automatik jika gagal membayar yuran tahunan sebelum 30 Jun.
Bagaimana pun, rayuan boleh dibuat kepada Majlis untuk mempertimbangkan dalam Mesyuarat Majlis. Keputusan dalam Mesyuarat Majlis adalah muktamad.

d) Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli untuk perkara-perkara tertentu boleh dijalankan dengan persetujuan Mesyuarat Agung Dwitahunan atau mesyuarat Agung Luar Biasa. Sekira ada ahli yang mungkir membayar wang berkenaan dalam masa atau tempoh yang telah ditetapkan, wang itu dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.


PERATURAN 8 – BERHENTI DAN GUGUR DARIPADA MENJADI AHLI

a)Keahlian boleh dibatalkan jika didapati ahli tidak membayar yuran tahunan selepas 30 Jun pada tahun berkenaan kecuali Ahli Seumur Hidup.

b) Ahli yang ingin menamatkan keahlian sewajarnya menulis surat pemberhentian sebagai ahli kepada Setiausaha Agung dan sekali gus membayar hutangnya, jika ada.


PERATURAN 9 – PEMECATAN KEAHLIAN

Ahli yang gagal mematuhi undang-undang atau peraturan-peraturan persatuan atau bertindak dalam cara yang mendatangkan keburukan atau mencetuskan salah laku kepada persatuan boleh dipecat atau digantung keahlian dalam tempoh yang difikirkan munasabah. Sebelum memecat atau menggantungkan ahli berkenaan, ahli dimaksudkan hendaklah diberitahu sebab-sebab pemecatan atau penggantungan itu secara bertulis dan hendaklah diberi peluang kepadanya untuk mempertahankan diri. Bagaimanapun ahli yang dipecat atau digantung itu boleh membuat rayuan dan hanya Mesyuarat Agung sahaja boleh menentukan keputusannya.


PERATURAN 10 – MESYUARAT AGUNG DWI TAHUNAN

a)Semua Ahli Biasa dan Ahli Seumur Hidup layak hadir dan mengundi dalam Mesyuarat Agung. Bagaimanapun Ahli Sekutu tidak boleh mengundi tetapi layak menghadirinya.

b) Kuorum yang diperlukan untuk mengendalikan Mesyuarat Agung adalah setengah (1/2) daripada jumlah Ahli Biasa berserta Ahli Seumur Hidup atau 34 orang Ahli Biasa berserta Ahli Seumur Hidup; ikut mana yang kurang.

c) Jika kuorum tidak cukup sesudah setengah jam dari waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, persidangan dimaksudkan mestilah ditangguh kepada tarikh lain (tidak lebih 14 hari) yang ditetapkan oleh Majlis. Jika kuorum masih tidak mencukupi sesudah setengah jam dari waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat tertangguh, ahli-ahli yang hadir berkuasa memulakan mesyuarat tetapi tidak berhak mengubah Perlembagaan persatuan ini.

d) Mesyuarat Agung Dwitahunan persatuan ini hendaklah diadakan selewat-lewatnya pada atau sebelum 31 Mei pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Majlis.

e) Agenda Mesyuarat Agung Dwitahunan adalah:

i)              Melantik Presiden Mesyuarat Agung.
ii)            Ucapan Presiden.
iii)          Meneliti dan mengesahkan minit mesyuarat lalu.
iv)            Perkara berbangkit.
v)              Membentang dan menerima Laporan Tahunan.
vi)            Membentang dan menerima Penyata Kewangan Tahun bagi dua tahun yang lalu.
vii)          Pindaan/tambahan kepada Perlembagaan.
viii)        Membincang dan menerima usul.
ix)            Melantik Pengira Undi.
x)              Memilih Ahli Majlis.

Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Dua (2) orang Naib Presiden
Seorang Setiausaha Agung
Seorang Setiausaha Kewangan
Dan lima (5) orang Ahli Majlis Biasa

xi)            Melantik dua (2) orang Juruaudit Dalam
xii)          Lain-lain perkara.

f) Notis pemberitahuan Mesyuarat Agung, Borang Pencalonan berserta dengan Penyata Kewangan yang disahkan untuk tahun terdahulu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Agung kepada ahli-ahli dan diterima oleh ahli-ahli berkenaan sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum mesyuarat.

g) Usul-usul yang hendak dibawa ke Mesyuarat Agung mestilah sampai ke tangan Setiausaha Agung tidak lewat dari tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat yang dimaksudkan.


PERATURAN 11 – MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA

a)Mesyuarat Agung Luar Biasa perlu diadakan atas perintah Presiden berdasarkan nasihat Majlis atau dengan permintaan bertulis sekurang-kurangnya satu perlima (1/5) daripada jumlah keahlian biasa berserta keahlian seumur hidup dengan menerangkan tujuan dan sebab-sebab mengadakannya.

b) Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada suatu tarikh dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat berkenaan.

c) Notis pemberitahuan mesyuarat hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Agung kepada ahli-ahli dan diterima oleh ahli-ahli berkenaan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum mesyuarat.

d) Dalam perlembagaan ini mengenai kuorum dan penangguhan Mesyuarat Agung Dwitahunan boleh juga digunakan untuk mesyuarat ini tetapi dengan syarat jika kuorum tidak mencukupi selepas setengah (1/2) jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Luar Biasa atas permintaan ahli-ahli maka mesyuarat itu hendaklah dibatalkan dalam masa enam (6) bulan dari tarikh berkenaan. Permintaan bertulis yang baru perlu dibuat selepas tempoh enam (6) bulan oleh ahli-ahli berdasarkan peruntukan Peraturan 10 (a) jika Mesyuarat Agung Luar Biasa dengan tujuan sama ingin diadakan semula.

e) Hanya perkara yang dimaksudkan dalam agenda sahaja boleh dibincangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa ini.


PERATURAN 12 – PENTADBIRAN

a)Ahli Majlis terdiri daripada:

Seorang Presiden
Seorang Timbalan Presiden
Dua (2) orang Naib Presiden
Seorang Setiausaha Agung
Dua (2) orang Timbalan Setiausaha Agung
Seorang Setiausaha Kewangan
Seorang Timbalan Setiausaha Kewangan
dan lapan (8) orang Ahli Majlis Biasa.

b) Ahli Majlis dipilih dua (2) tahun sekali sewaktu Mesyuarat Agung Dwitahunan kecuali dua (2) jawatan Timbalan Setiausaha Agung, Timbalan Setiausaha Kewangan, dan tiga (3) jawatan Ahli Majlis Biasa yang dilantik sendiri oleh Majlis.

c) Majlis kecil boleh dibentuk untuk menyempurna dan melicinkan lagi pentadbiran. Bagaimanapun pengesahan terakhir terhadap apa jua keputusan dalam Mesyuarat Majlis Kecil hanya boleh diputuskan oleh Majlis.

d) Semua pemegang jawatan dalam Majlis dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas persatuan mestilah warganegara Malaysia dan sekurang-kurangnya berusia 21 tahun pada tahun memegang jawatan serta telah menjadi ahli persatuan berterusan sekurang-kurangnya setahun sebelum memegang jawatan yang dimaksudkan.

e) Semua calon untuk jawatan mestilah Ahli Biasa (ahli berterusan sekurang-kurangnya setahun pada hari Mesyuarat Agung dimaksudkan) atau Ahli Seumur Hidup.

f) Semua pencalonan hendaklah diisi dalam Borang Pencalonan yang akan disediakan dengan ditandatangani oleh seorang Pencadang dan Penyokong Pencadang dan Penyokong dimaksudkan mestilah ahli persatuan.

g) Semua pencalonan yang dikemuka hendaklah diterima oleh Setiausaha Agung di alamat berdaftar persatuan ini tujuh (7) hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung diadakan.

h) Pengundian sewaktu Mesyuarat Agung untuk jawatan dijalankan secara undi sulit.

i)Fungsi Majlis ialah mengelola dan mengatur tugas-tugas semasa persatuan dan membuat keputusan ke atas perkara-perkara yang berkaitan dengan pergerakan pertubuhan dengan tidak terkeluar daripada dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Majlis seharusnya tidak melakukan keputusan atau tindakan bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Majlis mestilah sentiasa patuh kepada keputusan Mesyuarat Agung. Majlis juga hendaklah memberi laporannya mengenai kegiatannya dalam dua tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Dwitahunan.


PERATURAN 13 –WAKIL ZON

Seorang wakil dari tiap-tiap zon boleh dilantik oleh Majlis. Wakil yang dimaksudkan boleh menghadiri Mesyuarat Majlis tetapi tidak memiliki hak mengundi. Wakil Zon tidak mempunyai status sebagai Ahli Majlis.

Pecahan zon adalah seperti berikut:

a)    Zon Utara: Perlis, Kedah dan Pulau Pinang
b)    Zon tengah: Perak, Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan
c)     Zon Selatan: Melaka dan Johor
d)    Zon Timur: Kelantan Terengganu dan Pahang
e)    Zon Malaysia Timur 1: Sarawak
f)     Zon Malaysia Timur 2: Sabah


PERATURAN 14 – MESYUARAT MAJLIS

a)Ahli Majlis hendaklah mengadakan mesyuaratnya sekurang-kurangnya sekali dalam masa tiga (3) bulan.

b) Sembilan (9) Ahli Majlis menggenapkan kuorum untuk Mesyuarat Majlis.

c) Notis pemberitahuan mesyuarat berserta dengan minit mesyuarat majlis lalu hendaklah diedarkan kepada Ahli Majlis dan diterima oleh mereka tidak kurang dari tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat.

d) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Ahli Majlis dan mesyuarat dimaksudkan tidak dapat diadakan, Setiausaha Agung boleh memperolehi kelulusan berkenaan dengan surat pekeliling berdasarkan peruntukan-peruntukan berikut:

i)              Perkara mustahak yang dimaksudkan perlu dicatat dengan terang dan dihantar kepada semua Ahli Majlis.

ii)            Sekurang-kurang Sembilan (9) orang Ahli Majlis menyatakan persetujuan atau bantahan.

iii)          Keputusan Mesyuarat Majlis mengikut undi terbanyak. Bagaimanapun sebarang keputusan yang dibuat menerusi surat pekeliling hendaklah dilaporkan dalam Mesyuarat Majlis yang akan datang untuk dicatat.

e) Seseorang ahli yang tidak hadir Mesyuarat Majlis tiga kali berturut-turut tanpa alasan bertulis yang munasabah boleh digugurkan daripada menjadi Ahli Majlis.

f)Sekiranya ada perkara penting, Setiausaha Agung berhak memanggil Mesyuarat Majlis serta-merta.


PERATURAN 15 – KEKOSONGAN AHLI MAJLIS

a)Jika ada mana-mana Ahli Majlis meninggal dunia atau meletak jawatan atau digugurkan, majlis berhak melantik pengganti sehingga tahun pemilihan dalam Mesyuarat Agung. Perlantikan Juruaudit Dalam juga boleh dibuat berpandukan peruntukan ini.

b) Sekiranya mana-mana Ahli Majlis telah didapati bersalah oleh mana-mana mahkamah di Malaysia dan kesalahan itu adalah kesalahan jenayah antara hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah berkenaan adalah penjara bagi satu-satu jangkamasa yang tertentu maka Ahli Majlis dimaksudkan adalah secara automatik hilang keahliannya sebagai Ahli Majlis. (Perkataan ‘kesalahan’ termasuklah tiap-tiap perbuatan yang telah dilakukan di luar Malaysia yang mana jika dilakukan dalam Malaysia, akan menjadi satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Kanun Keseksaan Malaysia).

c) Sekiranya dibukti ada mana-mana Ahli Majlis yang didapati tidak lagi berupaya untuk menjalankan tugas atas sebab-sebab kesihatan, dengan persetujuan Majlis, Ahli Majlis berkenaan hendaklah melepaskan jawatan yang dipegang itu.


PERATURAN 16 – TUGAS-TUGAS AHLI MAJLIS

a)PRESIDEN: Mempengerusikan semua mesyuarat: menandatangani minit-minit mesyuarat, mempunyai undi pemutus dan hak mengarahkan Setiausaha Agung mengadakan mesyuarat-mesyuarat tertentu.

b) TIMBALAN PRESIDEN: Menjalankan tugas-tugas Presiden sewaktu ketiadaannya.

c) NAIB PRESIDEN: Membantu Timbalan Presiden menjalankan tugas-tugasnya pada setiap masa. Semasa ketiadaan Timbalan Presiden, salah seorang daripadanya akan memangku tugas itu. Sewaktu ketiadaan Presiden dan Timbalan Presiden, seorang daripada Naib Presiden akan menjalankan tugas Presiden. Majlis akan menentukan calon Naib Presiden yang bakal memangku tugas Presiden dan Timbalan Presiden.

d) SETIAUSAHA AGUNG: Menguruskan semua tugas surat-menyurat persatuan, menghadiri semua mesyuarat dan mencatat minit-minit, menyediakan Laporan Tahunan serta menyimpan rekod-rekod dengan lengkap termasuk buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat kediaman tiap-tiap ahli. Setiausaha Agung juga perlu menyediakan agenda-agenda mesyuarat, menandatangani minit Mesyuarat Majlis bersama Presiden dan memastikan harta persatuan dalam keadaan selamat.

Setiausaha Agung juga hendaklah dalam masa 60 hari dari tarikh Mesyuarat Agung Dwitahunan dilangsungkan, mengirimkan Penyata Tahunan persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Pertubuhan 1966.

e) TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG: Membantu Setiausaha Agung menjalankan tugas-tugasnya pada setiap masa. Semasa ketiadaan Setiausaha Agung, salah seorang daripada Timbalan Setiausaha Agung akan memangku tugas itu. Majlis akan menentukan calon Timbalan Setiausaha Agung yang akan memangku tugas Setiausaha Agung.

f)SETIAUSAHA KEWANGAN: Menerima segala yuran, derma serta wang daripada sumber-sumber lain, mengendalikan akaun dengan betul dan menjelaskan semua pembayaran bagi pihak persatuan. Setiausaha Kewangan juga bertanggungjawab mengeluarkan resit-resit dan menyediakan Penyata Kewangan tahunan untuk diaudit dan dibentangkan dalam Mesyuarat Agung. Berhak menyimpan wang tunai tidak melebihi RM1,000 (Ringgit Satu Ribu) dari masa ke semasa untuk perbelanjaan yang memerlukan bayaran segera.

g)TIMBALAN SETIAUSAHA KEWANGAN: Membantu Setiausaha Kewangan mengendalikan tugas-tugasnya pada setiap masa.

h)AHLI MAJLIS BIASA: Ahli Majlis Biasa hendaklah membantu menjalankan tugas-tugas Majlis.


PERATURAN 17 – KEWANGAN

a)Disyaratkan kepada peruntukan-peruntukan berikut bagi peraturan-peratuan ini, wang persatuan ini boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan pertubuhan termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa atau mengaudit akaun. Bagaimanapun wang persatuan tidak boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukum di mahkamah.

b) Setiausaha Kewangan boleh menyimpan wang tunai tidak melebihi RM1,000 pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan dalam tempoh tujuh hari ke dalam bank yang dipersetujui oleh Majlis. Akaun bank dimaksudkan hendaklah atas nama persatuan.

c) Semua cek persatuan atau kenyataan pengeluaran wang hendaklah ditandatangani oleh Setiausaha Kewangan dan Presiden atau Setiausaha Agung. Semasa ketiadaan Setiausaha Kewangan, Presiden atau Setiausaha Agung, Majlis boleh melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menurunkan tandatangan.

d)Perbelanjaan yang lebih dari RM20,000 bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Majlis dan belanja yang lebih daripada RM200,000 bagi sebulan tidak boleh digunakan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM20,000 bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Setiausaha Kewangan dan Presiden atau Setiausaha Agung.

e) Penyata perihal kewangan yang diterima dan dibelanjakan berserta Kunci Kira-kira bagi dua tahun sekali hendaklah disediakan oleh Setiausaha Kewangan dan diperiksa oleh Juruaudit Dalam mengikut Peraturan 18 dengan seberapa segera sesudah tamat tahun kewangan. Penyata Akaun yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung yang berikutnya dan salinan-salinannya hendaklah diedarkan untuk makluman ahli-ahli dari alamat berdaftar atau dari tempat mesyuarat persatuan.

f)Tahun kewangan persatuan ini adalah dari 1 Januari hingga 31 Disember tiap-tiap tahun.


PERATURAN 18 – JURUAUDIT DALAM

Dua (2) orang ahli yang bukan Ahli Majlis hendaklah dilantik sewaktu Mesyuarat Agung Dwitahunan sebagai Juruaudit Dalam. Juruaudit Dalam dikehendaki memeriksa akaun pertubuhan ini bagi setiap tahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung. Juruaudit Dalam juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden atau Setiausaha Agung memeriksa akaun persatuan dalam tempoh jawatan mereka dan membuat laporan kepada Majlis. Juruaudit Dalam tidak boleh dilantik semula secara berterusan sesudah menamatkan musim perkhidmatannya.


PERATURAN 19 – TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

a)Di antara Mesyuarat Agung Dwitahunan, Mesyuarat Majlis boleh memberikan tafsiran peraturan-peraturan ini dan sekiranya mustahak, boleh memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung dalam perlembagaan.

b) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang sudah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Majlis terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.


PERATURAN 20 – PENAUNG/PENASIHAT

Majlis boleh, jika difikirkan perlu, melantik sesiapa yang layak menjadi Penaung atau Penasihat bagi persatuan ini.


PERATURAN 21 – LARANGAN

a)Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan dalam rumah pertubuhan iaitu Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Chap Ji Kee, Sam Cheong, permainan video, Dua Puluh Satu, Tiga Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

b) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak boleh cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan dalam gerakan kesatuan sekerja seperti yang diterangkan dalam undang-undang Kesatuan Sekerja 1959.

c) Persatuan tidak boleh menjalankan kegiatan loteri, sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama pertubuhan atau pegawai-pegawai atau Majlis atau ahli.

d) Faedah-faedah seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966 tidak boleh diberi oleh pertubuhan kepada mana-mana ahli pertubuhan.


PERATURAN 22 – PINDAAN UNDANG-UNDANG

a)Perlembagaan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali dengan persetujuan setengah (1/2) daripada Ahli Biasa berserta Ahli Seumur Hidup yang berhak mengundi dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa. Perubahan atau pindaan kepada Perlembagaan ini akan hanya berkuatkuasa mulai dari tarikh perubahan atau pindaan yang dimaksudkan dibenarkan oleh Pendaftar Pertubuhan.

b) Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa enam puluh (60) hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung.


PERATURAN 23 – PEMBUBARAN

a)Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada dua pertiga (2/3) daripada jumlah Ahli Bisa berserta Ahli Seumur Hidup yang berhak mengundi dalam Mesyuarat Agung Dwitahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan khas kerananya.

b) Sekiranya persatuan ini hendak dibubarkan menurut Peraturan 20 (a), segala hutang dan tanggungan yang sah mengikut undang-undang perlu dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung.

c) Pembubaran persatuan hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa empat belas (14) hari dari tarikh pembubaran diputuskan.



PERATURAN 24 – PEMEGANG AMANAH

Persatuan ini boleh melantik sama ada sebuah firma untuk bertindak sebagai Pemegang Amanah persatuan atau sekurang-kurangnya lima (5) orang ahli persatuan ini. Bagaimanapun persatuan berhak menerusi Mesyuarat Agung Dwitahunan atau Mesyuarat Agung Luar Biasa menarik balik sebarang perlantikan dimaksudkan.


No comments:

Post a Comment

your comments is valuable..